Monday, May 24, 2010
taubat seorang hamba
Friday, May 21, 2010
mengimbau kisah lalu
Wednesday, May 12, 2010
MUSlim Rumahtangga
salam..izinkanku mengcopy nukilan saifulislam ini..hebat tulisannya, dalam maknanya//untuk tatapan semua
Muslim Rumahtangga – Siri I (Pra Perkahwinan)
January 11th, 2008 by Abu Saif 1:25 am | 20,800 views | Print | Email |Leave a reply »“Saya mestilah Muslim dalam konteks rumahtangga dan ahli keluarga”… itu adalah tajuk keempat ceramah saya di dalam PUISI 2007.
Semenjak sehari sebelumnya, para peserta semacam tidak sabar-sabar mahu mendengar pengisian tentang rumahtangga. Mungkin bagi sebahagian mereka, rumahtangga itu adalah cinta, kahwin dan berbulan madu… maka adrenaline yang mengalir kencang menjadikan mereka tidak sabar-sabar dengan pengisian saya.
Apatah lagi ia dimulakan dengan nasyid Keluarga Bahagia dendangan kumpulan Saujana. Habis terhayun-hayun peserta menyanyikannya bersama… malah dengan penuh perasaan.
Memang benar, rumah tangga bermula dengan perasaan cinta. Namun sebelum saya berbicara tentang cinta, soal percintaan dan rumahtangga, saya letakkan ia di dalam huraian lanjutan terhadap konsep sinergi, iaitu tabiat keenam dari siri The 7 Habits of Highly Effective Muslim yang saya perkatakan di dalam PUISI 2006 yang lalu.
Bersinergi adalah kemuncak segala tabiat kerana ia merangkum input, proses dan kesan langsung dari kelima-lima tabiat yang mendahuluinya.
“Allah jadikan manusia itu makhluk sinergi, sama seperti seluruh makhluk lain yang berkongsi hidup di alam ini”, saya membuat rumusan awal.
“Sinergi bukan sahaja mematuhi Sunnatullah, malah kerana kepatuhan itulah terbitnya kemakmuran dalam kehidupan di alam ini. Kemakmuran yang pelbagai… dan dalam konteks tajuk kelima ceramah saya, sinergi diterjemahkan sebagai langkah untuk berumahtangga. Kemuncak berumahtangga adalah pada membangunnya watak dan jiwa manusia kepada kesempurnaan, dan seterusnya sinergi 1 tambah 1, menghasilkan bukan sahaja tiga, malah seramai yang mungkin dalam sebuah rumahtangga”, saya memetik sedikit huraian sinergi yang pernah saya sampaikan sebelum ini.
Pelajar tersengih… entah apa yang mereka fikirkan.
Tetapi sebagaimana telah saya sebutkan sebelum ini, risiko sinergi ialah bukan sekadar mencari jalan kompromi tetapi membuka kepada keseluruhan kemungkinan yang boleh dicapai. Maka ia bertitik tolak dari sesuatu yang jelas kepada unknown. Telah jelas segala watak, sikap, keperluan setiap kita sebagai anak dara dan bujang… namun risiko bersinergi dengan berumahtangga, ialah kita menuju kepada sesuatu yang tidak pasti.
Apakah nantinya kita bahagia?
Apakah nanti kita dapat menimang cahaya mata?
Apakah nanti kita mampu membesarkan anak-anak?
Siapa yang kebumikan siapa… anak-anak bakal mengebumikan kita atau kita yang menghantar mereka ke liang lahad?
Apakah perkahwinan kita kekal sampai hari mati, atau sekadar sampai ke anak cucu dan kemudian bercerai bertemankan uban dan kedut wajah, atau gerhana di tengah jalan dan berpisah selepas bercinta bagai nak rak?
Semua itu adakah sesuatu yang tiada kepastian… namun ketidak pastian itu dipilih berbekalkan matlamat hidup yang jelas dan sikap yang betul mengenai kehidupan (tabiat 1), mengetahui matlamat akhir dan kesan keputusan hari ini (tabiat 2), tahu menyusun keutamaan berbekalkan sistem nilai dalam kehidupan (tabiat 3), sentiasa cenderung kepada penyelesaian dan tidak menjadikan rumahtangga sebagai gelanggang pertandingan jauh sekali pertaruhan (tabiat 4) dan sentiasa berusaha untuk mendengar dan memahami, sebelum mengharapkan diri didengar dan difahami (tabiat 5)… menjadikan ketidak pastian dalam keputusan bersinergi dengan berkahwin, medan perjuangan yang dipilih dengan sepenuh jiwa dan keyakinan… ia bukan suatu risiko yang menghentikan perjalanan, tetapi risiko yang menambahkan makna kehidupan.
Kerana Sunnatullah menghukum kehidupan di alam ini dengan sinergi, maka Syariatullah datang untuk menentang homoseksualiti. Hubungan sejenis adalah perbuatan ekstrim yang self centered, tidak menyumbang apa-apa kepada kehidupan, 1+1 menghasilkan negatif 2 akibat penyakit dan kemusnahan moral… ia membinasakan tamadun dan kehidupan manusia.
“Sudah jelas tentang sinergi dan kaitannya dengan perkahwinan?”, saya bertanya.
“Sudah…!!!”, bersemangat peserta.
Maka bersedialah anda semua untuk memainkan peranan di medan pertama sebelum medan utama.
Sebelum segala teori dan kefahaman kita ke arah melakukan perubahan, pembaikan, pemurnian dan segala slogan perjuangan untuk masyarakat, negara, dan dunia.. mulakan dengan peranan masing-masing mencorakkan dunia kecil yang diamanahkan kepada setiap mereka yang berkahwin… sebuah rumahtangga.
Agar dengan latihan itu, kita berlepas ke dunia perjuangan yang luas dengan akal, hati dan nafsu yang matang, stabil dan realistik. Bonusnya ialah, perjuangan di medan yang maha susah dan payah itu bakal dikurniakan sokongan isteri, suami juga anak-anak. Mereka adalah pembekal kuasa tenaga paling utama… dan jika gagal diajak menyertai perjuangan, merekalah titik lemah terbesar bagi setiap manusia yang hidup dengan perjuangan.
Bujang senang… sangkanya realiti hidup ini sesenang memahami pembacaan dan idealismanya.
Kahwin matang… baru tersedar bahawa manusia itu dibentuk, bagai air membentuk batu, dan bukannya mencetak manusia, bagai yang dislogankan oleh sesetengah kita.
PEMBAHAGIAN TAJUK
Banyak yang saya perkatakan tentang tajuk kelima PUISI 2007 ini. Malah ia menjadi antara tajuk yang paling panjang diperkatakan. Saya bahagikan penjelasan mengenainya kepada
- Era pra perkahwinan
- Di ambang perkahwinan
- ‘Fantasia’ bulan madu
- Menimang cahaya mata
- Tempoh matang perkahwinan
PRA PERKAHWINAN
Sebelum satu demi satu langkah diatur untuk memperkatakan tentang mengertikan Islam di dalam sebuah perkahwinan dan rumahtangga, adalah amat perlu untuk setiap anak muda, meneliti bezanya di antara cinta dan CINTA.
i. Cinta vs. CINTA
Saya tidak bermaksud untuk memperkatakan tentang CINTA sebagai CINTA ILAHI kerana hal mengenainya telah pun diperkatakan di dalam ruangnya yang khusus. Namun saya tumpukan perhatian kepada menyedarkan setiap anak muda yang sedang atau merancang untuk berpasangan agar meneliti, apakah perasaan mahu berpasangan itu terbit dari cinta kecil atau cinta sebenar.
Cinta kecil itu, adalah kekeliruan perasaan yang terbit dari keinginan untuk diberi perhatian, mahu dikasihi dan mengasihi, emosi yang kosong dari asas, matlamat, dan kesedaran terhadap implikasi cinta jenis ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan, cinta seorang anak kecil kepada kura-kura peliharaannya lebih mulia dari cinta keliru ini, kerana sekurangnya si anak kecil itu akan memberi makan, berbual dan membersihkan akuarium kura-kuranya, sedangkan cinta keliru antara dua anak muda ini tanpa mereka sedar hanyalah sekadar untuk melayan gangguan emosi yang sunyi barangkali… juga tanpa sedar kedua-duanya sedang merancang untuk saling merosakkan di antara satu sama lain.
CINTA sebenar itu harus terbit dari emosi dan naluri fitrah manusia… namun ia lahir juga dengan sandaran rasional dan sedar diri terhadap asas cinta itu, tanggungjawab yang mengiringi cinta tersebut serta kesan yang bakal lahir dari mematerialisasikan perasaan cinta seperti ini. Cinta yang ada ’sense of begin with the end in mind‘.
ii. Memilih Masa Yang Sesuai
“Jangan mengambil langkah untuk berpasangan, jika sudah pasti dalam setahun dua jangka masa terdekat ini tiada kemungkinan untuk anda berkahwin!”, itu amaran saya kepada peserta.
Wajah peserta mula kelat.
Saya telah jelaskan secara panjang lebar tentang soal kesan fitrah daripada perhubungan jangka panjang di dalam dan di luar perkahwinan di dalam artikel MENGURUSKAN FIKIRAN TENTANG PERKAHWINAN. Hubungan seorang lelaki dan perempuan lazim dihinggapi rasa jemu yang mencabar komitmen kita kepada hubungan itu. Perasaan jemu itu mungkin muncul di tahun ketiga perhubungan, mungkin juga di tahun keempat, malah kelima pun bisa.
Jika perasaan ini muncul di dalam sebuah perhubungan yang telah diikat atas nama sebuah perkahwinan, maka suami dan isteri akan belajar melayarkan bahtera rumahtangganya buat seketika, dengan kesedaran terhadap tanggungjawab… tatkala perasaan cinta itu pudar seketika. Ia adalah kesan biasa daripada sebuah perhubungan… dan selepas ujian ini berjaya dilepasi oleh seorang suami dan isteri, maka Insya Allah cinta yang mekar kembali itu akan menjadi cinta yang kekal kukuh hingga ke akhir usia.
Tetapi jika proses itu berlaku lantaran cinta panjang lebar dari zaman cinta monyet hingga monyet menjadi gorila, maka tidak mustahil untuk kekasih anda akan tiba-tiba memberikan signal untuk menamatkan hubungan yang terbina selama ini! Banyak alasan yang boleh diguna pakai…
“Saya mahu mendekatkan diri kepada Allah”
“Saya mahu tumpukan perhatian kepada pelajaran yang begitu membebankan sekarang ini”
“Saya rasa kita sudah tidak ada keserasian lagi”
Hakikatnya semua itu adalah alasan yang dibuat sedangkan sebab sebenarnya ialah “saya sudah jemu dengan awak!”. Itu sahaja!
Maka jika ibu bapa sudah memberi amaran bahawa perkahwinan adalah persoalan yang tiada ruang perbincangan hingga tergenggam ijazah di dalam tangan, maka hindarkanlah dari perbuatan menyeksa diri dengan mencari cinta di alam matrikulasi, atau tahun pra klinikal bagi pelajar perubatan kerana anda mencari risiko yang amat membebankan.
“Ustaz… habislah saya macam ini… saya sudah bertunang. Kami merancang untuk berkahwin mungkin dalam empat atau lima tahun lagi!”, seorang peserta berjumpa dengan saya dengan wajah panik selepas ceramah berakhir.
“Sabar… apa yang ustaz sebutkan tadi, bukannya ketetapan nas. Tetapi ia adalah pengamatan kepada pengalaman dan pembacaan. Pengalaman pelbagai pihak yang memberitahu semua itu. Jika anta sudah ada idea mengenai cabaran ini, maka buatlah persediaan sebaik-baiknya. Bersederhana dalam berhubung, jangan bergayut telefon sampai lepas kahwin dah tak tahu nak sembang apa… dan bijakkan diri dalam mengekalkan kesungguhan masing-masing menuju perkahwinan. Dan jangan pandang belakang!”, saya tersenyum.
“Ada hantu ke ustaz?”, tanya beliau.
“Kalau hantu Alhamdulillah. Tapi masalahnya anta mungkin akan nampak bidadari… bidadari lain untuk menambah options!”, saya bergurau.
“Faham, faham!”, katanya sambil mengurut dada. Lega barangkali.
iii. Kesan Perhubungan
Di peringkat pra perkahwinan ini juga, kita harus beringat terhadap kesan tindak tanduk untuk jangka masa yang panjang. Ketika mahu ber’couple’, keluar tengok wayang bersama, merosakkan anak dara dan teruna orang lain… fikirkan dengan sense of begin with the end in mind.
Hidup sementara wahai sahabat…
Namun kesan amalan kekal selamanya.
Sama ada ia menjadi kebaikan yang memberikan kesejahteraan yang berkekalan pada kehidupan di alam Sana, atau dosa yang menempa bencana dan seksa di neraka Allah yang Murka. Fikirkan dosa dan pahala. Fikirkan Syurga dan Neraka. Bahawa setiap sentuhan tanganmu ke atas kulit pasangan yang kamu ghairahkan itu… ada api yang akan merentungkannya. Rentung yang tidak mati, tetapi rentung yang mengekalkan derita dan seksa.
Sebelum kamu sentuh seorang perempuan yang kamu angkat sebagai bidadari hidupmu itu tanpa ikatan sah yang menghalalkannya, fikirkan kembali sakitnya ibu perempuan itu mengeluarkannya dari perut bersabung nyawa. Sanggup merisikokan mati, demi melahirkan seorang anak perempuan yang suci bagai kain putih, dan hari ini kamu yang muncul tiba-tiba dalam hidupnya itu, mahu mencemarkan perempuan itu?!
Tergamak kamu?
Teruskan… jika kalian cukup macho untuk membuktikan diri kalian memang tidak pernah peduli pada perasaan ibu bapa yang membawa kalian datang ke kehidupan ini. Pada kesakitan dan derita mereka, pada usaha mereka memilih pakaian, makan, ubat, rumah dan pelajaran yang terbaik selama ini… kerana nafsu kalian adalah satu-satunya yang terpenting di tika dan saat ini.
Ya, jika buayafriend dan gelifriend itu sudah berjaya membuktikan bahawa mereka saling tidak takut kepada Allah, terimalah neraka dunia sebelum Neraka Akhirat.
Allah akan menghukum mereka yang tidak endah kepada dosa di era pra perkahwinan, dengan hukuman perasaan. Perasaan syak wasangka dan sulit membina rasa percaya selepas berumahtangga.
“Jika dengan aku dulu dia tergamak berzina dan berbuat dosa, apa yang menghalangnya untuk berzina dengan orang lain”, syak seorang isteri, bekas pelaku dosa, ketika suaminya so-called out station.
“Jika dengan aku dulu dia selamba badak pegang sana pegang sini, apa yang boleh menjamin dia menjaga rumahku dan maruah dirinya dari lelaki lain?”, syak seorang suami, bekas pelaku dosa, ketika jauh di tempat kerja meninggalkan isteri di rumah sana.
Tanpa rasa percaya dan hidup dalam prasangka, ‘nikmatilah’ sebuah derita yang tidak berkesudahan… kesan masing-masing sudah berjaya membuktikan bahawa mereka berdua memang tidak gentar dan tidak pernah peduli dengan Allah dan amaran-Nya suatu ketika dahulu.
Fikirkan… don’t begin if that is the end in your mind!
Belajarlah bersusah payah mengekang nafsu… kerana susah payah itulah bekal bahagia. Bukti yang terpisahnya suami dari seorang isteri lantaran kerja, tidak menimbulkan prasangka apa-apa kerana kedua-duanya saling mengikat diri kepada Allah, Tuhan yang disembah di tempat kerja, dan yang disembah di kediaman sana. Bertemu tidak jemu berpisah tidak gelisah…!
Belajarlah semasa ini, untuk saling membuktikan yang kita memang peduli kepada Allah yang Maha Kuasa, kerana hanya dengan Allah sahaja kita mampu untuk terus saling percaya mempercayai. Dia rujukan kita. Kita tidak membelakangkan Dia.
iv. Jangan Berkahwin Sekadar Untuk Mendapatkan Sijil Halal
Seterusnya saya mengingatkan setiap peserta, agar tidak memberikan alasan “saya kena kahwin segera ustaz, takut terjebak ke benda-benda yang haram”.
Seorang di Southampton, seorang lagi di Dublin… tiba-tiba memberi alasan takut ‘terzina’???
Untuk pasangan ini berzina, si lelaki itu perlu menempah tiket dari halaman web Ryanair.Com, kemudian mengemas beg dan mengambil bas dari Grafton Street ke Dublin Airport, check in, menaiki pesawat, terbang satu jam menyeberangi Irish Sea, mendarat di Bournemouth Airport, melalui imigresen, mengambil beg, menaiki bas ke bandar Southampton dan akhirnya berzina!!!
Ini bukan kes takut terzina, tetapi kes memang ‘berjihad untuk berzina’ malah ketagih zina dan lupa diri. Sewajarnya saya melayangkan barang sebutir dua pelempang kepada orang seperti ini agar bangkit dan sedar dari alasannya “saya kena kahwin segera sebab takut terzina”.
Lainlah jika masing-masing belajar di universiti yang sama, di kelas yang sama, hari-hari bertemu dan yang tinggal hanya ‘to be or not to be‘!
Itu pun, saya masih berasa tidak wajar untuk seseorang itu membuat keputusan berkahwin hanya sekadar untuk mendapatkan Sijil Halal! Kahwin kerana takut zina, seolah-olah itu sahaja yang ada di mindanya tentang makna perkahwinan. Tidakkah dia sedar bahawa cabaran tanggungjawab selepas berkahwin adalah jauh lebih besar dan sulit dari sekadar cabaran menolak zina?
Jangan buktikan yang jati dirimu selemah itu. Jika menolak zina sudah sampai mencetuskan porak peranda hidupmu, di manakah kejantananmu untuk memimpin isteri dan anak-anak?
v. Jangan Berkahwin Tanpa Persetujuan dan Pengetahuan Ibu Bapa
Ruang untuk membelakangkan ibu bapa itu memang ada. Baik lelaki mahu pun yang perempuan.
Malah bagi si lelaki, hukum fiqh tidak pun meminta dirinya mendapatkan persetujuan ibu bapa.
Tetapi perkahwinan bukan sekadar soal hukum fiqh, bukan sekadar sah tidak sah akad yang dihenjut.
Setelah bertahun saya dan Ummu Saif berumahtangga, nasihat seorang ibu dan seorang bapa kepada kami tetap penting, berharga dan sering diminta untuk mengatur perkahwinan dan rumahtangga. Itu soal nasihat yang diberi dan diminta. Belum lagi dikira titis air mata ibu bapa di atas sejadah berdoa memohon kepada Allah agar memakmurkan perkahwinan dan rumahtangga anak-anak mereka. Berapa tinggi doa itu memanjat langit?!
Restu ibu bapa…
Lebih besar dan agung dari segala motivasi dan rawatan kaunseling yang ada di alam maya ini. Maka janganlah sekali-kali disingkirkan restu ibu bapa daripada sebuah perkahwinan yang ingin dibina.
Itu soal restu.
Pasangan yang berkahwin tanpa pengetahuan ibu bapa juga harus beringat, bahawa kalian adalah darah daging mereka. Tanpa diberitahu, seorang bapa apatah lagi seorang ibu, begitu mudah untuk merasakan sesuatu tentang anak mereka. Alangkah sakit selsema pun boleh meresahkan mereka di hujung benua, apatah lagi jika si anak yang begitu tergamak berkahwin dengan membelakangkan kedua ibu bapa.
Nanti ibu bapa akan bertanya, “kamu ni dah kahwin ke?”
Mahu dijawab apa?
“Err… mana ada mak, ayah. Bukankah saya dah bersetuju untuk berkahwin selepas graduatenanti!”, jawab si ‘pengantin lelaki misteri itu’.
Ahh, kamu sudah menafikan perkahwinan kamu. Kamu tidak sedar yang kamu telah membuat suatu kenyataan bahawa isteri yang telah kamu nikahi itu, bukan isterimu.
Apa ertinya semua ini?
Saya khuatir penafian itu boleh mengheret perkahwinan kepada tanpa sedar, kamu telah mentalaqkan isterimu dengan talaq kinayah!
Apakah talaq kinayah itu?
Iaitulah ucapan-ucapan yang mengandungi maksud menidakkan perkahwinan dan membatalkannya, namun dilafazkan secara tidak terang justeru menuntut penjelasan.
Apatah lagi ucapan itu dibuat ala-ala Jamil dalam kisah Madu Tiga.
“Sumpah, Wallah… Tipah tu bukan lagi isteri abang!”
Mungkin dan berkemungkinan besar tidaklah jatuh talaq itu jika anda menafikan perkahwinan anda di depan ibu bapa. Tetapi berapa kali anda mahu menipu, dan berapa lama anda tahan hidup dalam pendustaan. Bukan mendustakan rakan, tetapi ibu bapa sendiri!
Janganlah diheret perkahwinan kepada situasi seperti ini. Di mana redha Allah, di mana redha ibu bapa?
Mengapa tidak kalian mujahadah sahaja…
Puasa…
Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berorganisasi… dakwah, kemanusiaan, kemasyarakatan…
“Statiknya air akan merosakkannya, statiknya pemuda (dengan banyaknya masa lapang dia) akan membunuh dirinya” – PepatahArab
Jika anda tetap berada di dalam suatu keadaan yang hanya perkahwinan jalan penyelesaiannya, maka bawalah berbincang dengan baik. Buktikan yang anda sudah cukup dewasa untuk berumahtangga dengan mengambil langkah berdiskusi dengan ibu bapa secara dewasa, atau mungkin juga dengan meminta bantuan orang tengah yang boleh membantu kepada rundingan.
Dan sudah tentu di satu sudut yang lain, ibu bapa juga haruslah tidak terlalu mengikut perasaan hingga tidak rasional. Berusahalah untuk mempertimbangkan dengan baik keadaan anak-anak dan membuat keputusan untuk kebaikan anak-anak itu yang hidup mereka penuh cabaran itu, dan bukan sekadar memberikan alasan-alasan “takut kehilangan anak”, “belum puas membesarkannya” dan lain-lain alasan yang berisiko tinggi itu.
Jujurnya, saya melihat kebanyakan mereka yang berkahwin semasa belajar dapat mengekalkan prestasi pengajian, malah ada yang bertambah cemerlang. Hanya segelintir yang kecundang… dan akan saya perkatakan di sambungan bicara ini di peringkat perkahwinan yang seterusnya, Insya Allah
Fikirkan semua ini supaya anda berCINTA dan bukan bermain cinta.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur